Sempena menyambut Hari Bapa ingin kucoretkan secebis kenangan buat ayah tercinta yang sudah 10 tahun meninggalkan kami semua. Dia ayah yang amat tegas dengan anak-anaknya. Peraturan perlu dipatuhi tanpa gagal. Sebarang alasan amat sukar diterima. Keluarga ku seramai 7 orang termasuk seorang abang sulung berlainan bapa. Bayangkan ketegasan ayah mendidik 5 orang anak perempuan. Semua mesti berada dalam rumah ketika maghrib. Pernah satu ketika aku sampai dirumah ketika azan berkumandang....dan ayah sudah tunggu depan tangga rumah. Bayangkan perasaan ku ketika itu. Ibu berdiri dibelakang dengan penuh bimbang. Sebuah tamparan dari ayah tepat dipipiku. Gelap rasa dunia ketika itu dan aku dipapah oleh ibu masuk kerumah. Malam itu aku tertidur dalam tangisan hiba dan kesakitan. Panasnya pipiku....... malam itu aku dapat rasakan belaian ayah mengusap kepalaku dan mencium pipiku.....agaknya dengan penuh penyesalan. Esoknya aku demam dan tidak dapat kesekolah. Pulang dari mengajar ayah membelikan aku buah epal kegemaranku. Gembira dapat makan buah epal yang jarang-jarang sekali dibelikan ayah untuk kami..... maklumlah berapa sangat gaji ayah sebagai Ustaz untuk menyara keluarga yang ramai. Aku tahu ayah amat menyesal menamparku semalam. Seingat ku itulah kali pertama dan terakhir aku merasa penangan dari ayah. Tapi itulah harga yang perlu dibayar kerana aku melanggar peraturan.... aku tidak pernah salahkan ayah malah bersyukur kerana sejak itu aku lebih berdisiplin. Sehingga sekarang aku amat rasa bersalah jika azan berkumandang masih dijalanan tanpa tujuan.
Ketika usia ku 7 tahun aku sudah diajar membaca dan menulis jawi. Bersama kakak dan adik kami sama-sama belajar membaca tulisan jawi dari Utusan Melayu versi jawi. Kami akan bergilir-gilir membacakan berita-berita menarik untuk ayah yang bersandar di kerusi malasnya. Kemudian ayah akan bercerita tentang kisah nabi pada kami sebelum mengaji Al quran. Waktu malam selepas maghrib sesi praktikal mengajar sembahyang. Kami kena pakai seluar pendek supaya senang ayah membetulkan kedudukan kaki ketika mengajar sembahyang. Disamping itu ayah juga mengajar kami tentang hukum hakam untuk wanita. Ibu tentu sekali sibuk dengan adik kecil. Semuanya kami dapat dari ayah. Bila ayah dapat gaji kami dapat makan sedap-sedap, ada buah2an dan mak akan masak kari ayam atau ikan besar. Oh bestnya waktu itu. Ayah tidak pernah minum dikedai kopi atau lepak dengan kawan-kawan. Dunianya hanya disekolah dan dirumah. Waktu lapangnya dihabiskan dengan membaca buku-buku yang penuh dalam almari. Macam2 bahan-bahan bacaan dalam almari ayah. Ada kitab-kitab lama dan majalah tahun lima puluhan pun ada. Hobi ayah hanya satu ...membaca dan berzikir.
Ayah kadang-kadang lucu juga orangnya. Dia suka berjenaka kalau angin nya baik. Pernah motosikal nya dicuri orang sebanyak dua kali...... dia cuma kata.. biarlah ayah sedekah kan saja. Abang nak buat repot tapi dia hanya cakap tak payah lah... esok ada rezeki ayah beli motor lain. Kenangan yang paling indah ... ayah bersusah payah menebang buluh untuk buat meriam untuk aku dan adik. Dua tiga hari sebelum raya puas kami membakar meriam buluh.. ayah yang ajar kami.. lucukan?Bila cuti sekolah aku dan arwah adik akan menemani ayah menjala ikan disungai. Ayah akan menggendong kami seorang demi seorang menyeberangi sungai separas dada ayah. Kami sama-sama mengira ikan yang ayah dapat. Lepas tu kami akan mandi sungai sebelum pulang.
Semangat ayah yang paling aku sanjung.... ayah berjaya dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran di usia 53 tahun ia -itu 2 tahun sebelum pencen. Beliau belajar di kelas malam bersama-sama dengan pelajar2 muda lain. Semua membantu ayah untuk sama-sama lulus periksa..... dan aku masih ingat ayah amat gembira bila keputusan keluar. Kami tanya pada ayah apa yang ayah dapat... naik pangkat ke? Ayah hanya senyum.... ayah puas sebab dah capai matlamat nak dapat Sijil tapi ayah kesal sebab ayah dah tak sempat ambil SPM ..tak sempat nak kejar. Aku amat bangga dengan semangat ayah. Pernah satu ketika seorang bapa pada pelajarnya dengan parang terhunus ditangan menunggu ayah dipersimpangan jalan pulang dari sekolah....tapi nasib baik ayah diselamatkan oleh guru besar dengan membawanya ikut jalan lain. Nak tahu apa salah ayah? sebab dia menampar muridnya yang tak dapat hafal ayat Quran. Tapi muridnya itu sekarang dah jadi guru berijazah.dan sempat datang menziarah dihari pengkebumian ayah.
Bulan Ramadhan yang hampir tiba mengingatkan aku pada makanan kegemaran ayah..... bubur kanji yang hanya dimasak dengan santan, udang kering dan halia......setiap hari ayah boleh makan bubur kanji bersama beberapa biji kurma. Ayah amat sederhana tidak pernah mahukan barang-barang mewah yang diberi. Aku selalu bawa ayah jalan-jalan dengan kereta dan selalunya ayah duduk didepan. Tahu saja lah tentu laju sekali kalau aku yang memandu tapi ayah tak pernah marah dan selalu terlepas kena saman...... bila polis pandang muka ayah dia hanya senyum.... entah apa ilmu yang ayah pakai.......... Seminggu sebelum ayah pergi kami sekeluarga balik kampung dari Terenganu. Aku sempat berbual dengan ayah. Beliau seakan tahu ajalnya hampir tiba.Dan katanya aku tentu tak sempat melihatnya dikafankan sebab jauh dari Terengganu....dia mahu jenazahnya cepat disempurnakan. Dia tidak sakit tenat cuma mengadu sesak nafas selepas Subuh dan minta dibaringkan diatas tilam sebelum menghembuskan nafas terakhir. Memang aku tidak sempat melihat jenazah ayah... 7 jam perjalanan yang amat memilukan. Al fatihah buat ayah tersayang. Selepas pemergian nya kami terjumpa buku diari ayah yang tercatat semua peristiwa penting dalam hidupnya...... hinggakan tarikh pembelian kereta ku yang pertama ada dicatatkan..... aku sendiri pun dah lupa. Tarikh lahir anak-anak nya semua dicatatkan dengan lengkap. Banyak pesanan nya yang menjadi panduan kami adik beradik... semuanya berpandukan sunah Nabi Muhammad SAW.
Dihari pengkebumian nya bagitu ramai yang datang entah dari mana. Kebanyakan nya bekas anak-anak muridnya. Ayah terlalu baik dalam ketegasan ..tiada orang lain seperti ayah ...satu-satunya dalam berjuta.. airmata tetap berderai saat terkenangkan ayah..........Kerana didikan dan ketegasan ayah aku menjadi insan berguna pada hari ini. Terima kasih ayah.............
No comments:
Post a Comment