Saturday, November 6, 2010

Mengenai PERKEP

SEJARAH PERKEP
Inspirasi penubuhan Persatuan Keluarga Polis atau nama ringkasnya PERKEP lahir atas dasar inginkan kaum wanita maju dan meraih apa yang tertinggal selama ini, dengan keahlian lebih kurang 80,000 orang di seluruh Malaysia, persatuan ini terus berdiri tegap dan mantap sehingga ke hari ini.

Menyingkap kepada sejarah penubuhannya di mana persatuan yang pada asalnya dikenali sebagai ‘Perkumpulan Kaum Ibu Polis’ (Women Police Institute) buat pertama kalinya telah mengadakan mesyuarat pada 26 julai 1967 yang dipengerusi oleh Y.Bhg. Tan Sri Hj. Hussain B. Hj. Mohd. Sidek, Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu. Hasil dari itu satu Perintah Pasukan dikeluarkan pada 20 Oktober 1967 (Force Order 447/67) memaklumkan pada semua Ibu Pejabat Kontinjen dan Ibu Pejabat Daerah berkenaan dengan penubuhan persatuan wanita ini di Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia, Kuala Lumpur dan menyatakan juga undang-undang berkenaan penubuhannya.

Ekoran dari itu pada 3 Ogos 1968 satu lagi mesyuarat diadakan dipengerusikan oleh Y.Bhg. Puan Sri Hajah Saodah isteri kepada Y.Bhg. Tan Sri Mohd. Salleh B. Ismail, Ketua Polis Negara ketika itu bertempat di Bilik Gerakan lama Ibu Pejabat Polis Jalan Bluff, Kuala Lumpur. Turut hadir sama adalah isteri-isteri Ketua Polis Negeri dan isteri-isteri PJP Sabah dan Sarawak. Di dalam mesyuarat tersebut satu kata sepakat telah dicapai iaitu memberi nama baru bagi persatuan.

Bermula dari sinilah Persatuan Keluarga Polis atau singkatannya PERKEP mendapat nama. Natijah dari itu PERKEP didaftarkan pada 10 jun 1969 (Bil. R.S.M. 779/68(6) PPP/SEL. 197/68) dengan diterajui oleh Pengerusi-Pengerusinya yang berkaliber yang menjadi asas kejayaan dan pencapaian yang membanggakan hingga ke hari ini.
LAGU PERKEP

PERKEP Polis Diraja
Bersatu maju dan jaya
Membentuk ibu sentiasa
Melahirkan cita-cita

Bersama berganding tangan
Hidupkan ikrar laungan
Berikan semangat perjuangan
Kepada wira pahlawan

Halus bagaikan sutera
Membelai tangis anaknya
Itulah perjuangannya
Bersama kita nikmatinya

Majulah PERKEP sentiasa
Gerakan hati dan jiwa
Bersusaha maju jaya
Untuk kita bersama


LOGO, BENDERA DAN LENCANA.



Maksud Logo
Sebuah Persatuan, yang bernaung di bawah pentadbiran Polis Diraja Malaysia dengan ahli-ahli yang terdiri dari berbagai bangsa dan peringkat bersatu padu dalam suasana kekeluargaan, persaudaraan dan muhibah, bergerak dengan semangat dan azam untuk menuju ke arah kemajuan untuk kepentingan dan faedah ahli-ahli serta keluarga dan sealiran dengan itu turut mengharumkan nama Polis Diraja Malaysia.

Penjelasan Logo:

Bunga Melambangkan :
i) Wanita dan kewanitaan
ii) Keharuman dan keindahan yang memberi pengertian yang baik dan berfaedah.

Bentuk Bulat Melambangkan :
i) Perpaduan
ii) Semangat serta azam yang padu dan kukuh.

Bentuk Orang.:
Saiz dan warna yang berbeza dalam bentuk ini melambangkan ahli-ahli dari berbagai kaum dan peringkat.

Bentuk Rumah :
Melambangkan suasana kekeluargaan, persaudaraan dan muhibah.

Warna Putih :
Melambangkan ketulusan keikhlasan kaum wanita serta keluarga menyokong karier di dalam pasukan.

Bendera dan Lencana :
PERKEP akan menggunakan bentuk logo berkenaan sebagai motif bendera dan lencana bagi semua urusan dalam mencapai objektif PERKEP.
KEAHLIAN

AHLI BIASA
Keahlian adalah terbuka kepada semua isteri Pegawai Polis, Pegawai Polis Wanita, Isteri Anggota Polis, Anggota Polis Wanita, Isteri Pegawai Awam dan Pegawai Awam Wanita di dalam perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia. Mereka adalah layak untuk mengundi dan memegang jawatan.

AHLI KEHORMAT
Keahlian adalah terbuka melalui permohonan bertulis dari kalangan ahli biasa yang telah bersara daripada perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia, tetapi tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pusat. Jawatankuasa Pusat boleh mengikut budibicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi apa-apa sebab. Ahli Kehormat adalah layak menggunakan semua kemudahan di dalam PERKEP, tetapi tidak layak untuk mengundi atau memegang jawatan.

AHLI BERSEKUTU
Keahlian adalah terbuka melalui permohonan bertulis dan tertakluk kepada kelulusan Jawatankuasa Pusat. Kepada anak-anak perempuan ahli-ahli biasa, yang belum berkahwin dan berumur 18 tahun ke atas. Mereka adalah layak menggunakan semua kemudahan di dalam PERKEP, tetapi tidak layak untuk mengundi dan memegang jawatan.



TATACARA PEMAKAIAN BAJU PERKEP
DAN CONTOH AKSESORI

No comments:

Post a Comment